Jumat, 20 April 2012

Khutbah Jumaat:Bencana angkarakerakusan manusia

SEMPENA sambutan Hari Bumi pada 22 April ini,
maka mimbar hari ini memperkatakan khutbah
bertajuk ‘Bencana Alam Kewajipan
Bermuhasabah’.
Ketika ini kita sering dikejutkan dengan peristiwa
bencana alam seperti gempa bumi, tsunami,
banjir besar, tanah runtuh, jerebu, ribut, kemarau
dan lain-lain lagi. Peristiwa sebegini sebenarnya
peringatan daripada Allah SWT kepada
makhluknya agar bermuhasabah terhadap diri
masing-masing.
Dalam al-Quran, Allah SWT menceritakan banyak
tamadun umat manusia dimusnahkan Allah SWT
melalui bencana alam, antaranya kaum Nabi Nuh
dimusnahkan dengan banjir, kaum Nabi Luth
dengan gempa bumi dan kaum Aad pula dilanda
ribut taufan tujuh hari, tujuh malam.
Jelasnya, bencana alam yang memusnahkan kaum
itu adalah kerana hukuman Allah SWT atas
kekufuran dan kemungkaran mereka. Firman
Allah SWT dalam surah al-Ankabut ayat 40
bermaksud: “Maka masing-masing Kami
binasakan dengan sebab dosanya, iaitu di
antaranya ada yang Kami hantarkan angin ribut
menghujaninya dengan batu; dan ada yang
dibinasakan dengan letusan suara
menggemparkan bumi; dan ada yang Kami
timbuskan dia di bumi; dan ada pula yang Kami
tenggelamkan di laut. Dan (ingatlah) Allah tidak
sekali-kali menganiaya mereka, akan tetapi
merekalah yang menganiaya diri sendiri.”
Peringatan ayat Allah SWT ini menjadi pengajaran
bagi kita bahawa kekufuran dan perbuatan
maksiat akan menjadi penyebab datangnya
kemurkaan Allah SWT.
Setiap bencana yang menimpa manusia
mempunyai tiga pengajaran berbeza. Pertama:
Bagi mereka yang terselamat daripada bencana,
maka bencana yang menimpa orang lain menjadi
peringatan bentuk kasih sayang Allah agar mereka
kembali pada jalan-Nya.
Kedua: Bagi orang yang tidak beriman, maka
bencana yang menimpa adalah azab dan seksa
dari Allah di alam ini yang disebabkan kekufuran
dan derhaka terhadap perintah Allah dan rasul-
Nya.
Ketiga: Dengan bencana juga, Allah SWT
menunjukkan kepada manusia antara orang yang
benar keimanannya dan mana yang tidak
beriman.
Perlu difahami bahawa bencana alam boleh
berlaku disebabkan kesilapan dan kerakusan
manusia kerana mengejar kemewahan dunia.
Akibatnya sistem ekologi dan keseimbangan alam
semesta tergugat.
Insafilah peringatan Allah dalam surah ar-Rum
ayat 41 bermaksud: “Telah berlaku pelbagai
kerosakan dan bencana di darat dan di laut
dengan sebab apa yang dilakukan tangan
manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah
hendak merasakan mereka sebahagian daripada
balasan perbuatan buruk mereka lakukan, supaya
mereka kembali (insaf dan bertaubat)”.
Ayat ini menyatakan bencana alam di muka bumi
ini ada kaitannya dengan perilaku manusia yang
tidak berhemah dan menghargai alam semesta.
Tindakan manusia yang mengganggu dan
memusnahkan keseimbangan ekologi adalah satu
tindakan membawa manusia ke arah
kemusnahan.
Kerakusan manusia mengganggu dan
memusnahkan keseimbangan ekologi adalah satu
tindakan yang akan membawa manusia ke arah
kemusnahan.
Malangnya berdasarkan kepada pemerhatian, ada
sesetengah pihak melihatnya sebagai satu
kebijaksanaan melalui penggunaan teknologi
moden dan kreativiti akal manusia sedangkan ia
sebenarnya hanya satu kebodohan yang boleh
menyumbang kepada bencana dan kemusnahan
alam.
Ini kerana hubung kait antara manusia dengan
alam sangat rapat sekali kerana ia saling perlu
memerlukan.
Menyedari bencana alam sebagai hak mutlak
Allah SWT yang tidak diduga, maka kesedaran
mengenai peranan dan tanggungjawab semua
pihak dalam mengurus serta mengurangkan
kesan bencana alam perlu dilakukan.
Di negara kita, Jabatan Alam Sekitar (JAS) adalah
agensi kerajaan bertanggungjawab terhadap
pemuliharaan alam sekitar. Fungsi utamanya
adalah untuk mencegah, menghapus, mengawal
dan membaiki alam sekeliling agar senantiasa
terpelihara melalui penguatkuasaan dan program
kesedaran serta pendidikan kepada masyarakat.
Namun segala usaha itu perlu diperkukuhkan
melalui sokongan dan kerjasama padu semua
pihak.
Menjadi kewajipan semua pihak memastikan
bumi yang kita duduki ini terus selamat. Sebarang
rancangan pembangunan dan kegiatan sosio
ekonomi masyarakat mestilah tidak merosakkan
ekologi alam sekitar.
Elakkan daripada menarah bukit, melakukan
pembalakan haram, pembakaran terbuka dan
pembuangan sampah tidak terkawal. Berusahalah
untuk menghindari diri dan tempat tinggal
daripada sebarang bencana dengan menunai
segala perintah Allah SWT dan meninggalkan
tegahan-Nya.
Justeru, marilah kita bersama bersatu hati di
bawah satu lambang perpaduan, menyemai sikap
kasih sayang dan bermuafakat untuk kemajuan
demi agama, bangsa dan negara.
Mimbar yakin jika semua manusia kembali
kepada matlamat kehidupan yang sebenar maka
bumi yang kita diami ini akan kembali aman dan
tenang serta tiada lagi kegelisahan, ketakutan dan
kebimbangan.
Marilah sama-sama kita mengurus bumi Allah
SWT ini dengan rasa bertanggungjawab,
beramanah, jujur bagi mengelak berlakunya
kesan buruk terhadap kehidupan, ekonomi dan
sosial negara.
Ingatlah anugerah Allah SWT ini akan menjadi
rahmat kepada kita dan dalam masa yang sama
juga boleh menjadi bala bencana serta azab.
Dengan itu seharusnya umat Islam mengambil
manfaat dan menambahkan ketakwaan atas
kebesaran kejadian Allah ini. Marilah sama-sama
kita merenung firman Allah dalam surah al-Araf
ayat 97-98 bermaksud:
“Patutkah penduduk negeri itu merasa aman
daripada kedatangan azab Kami kepada mereka
pada malam hari, semasa mereka sedang tidur?
Atau patutkah penduduk negeri itu merasa aman
daripada kedatangan azab Kami kepada mereka
pada siang hari, semasa mereka leka bermain-
main?”.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar