Selasa, 10 April 2012

Blogger Jangan Lakukan 10Perkara Ini

Menjadi seorang blogger bukan sekadar menulis
artikel di blognya. Dalam masa yang sama kita
juga perlu melalui satu proses pembelajaran.
Bermula daripada pembelajaran asas seperti
membuat perenggan dan penjajaran penulisan
hinggalah belajar menghasilkan artikel yang
berkualiti, mempraktik teknik SEO dan
mengubahsuai template blog. Ringkasnya, proses
pembelajaran itu berlaku sepanjang masa tidak
kira anda seorang blogger baru atau blogger
lama.
Jadi kali ini saya berkongsi sesuatu yang mungkin
boleh dijadikan panduan dalam proses
pembelajaran berkenaan. Perkataan JANGAN
digunakan kerana mengambil kira, “Mencegah
lebih baik daripada mengubati”. Perkara yang
dinyatakan adalah secara umum dan susunan
tidak dibuat mengikut mana yang lebih penting.
1. Jangan malu untuk bertanya
Selalulah bersikap positif untuk memperbaiki
kekurangan. Jika ada perkara yang benar-benar
anda tidak faham berkaitan dengan artikel yang
ditulis atau perkara umum tentang blog tanyalah
penulis atau pemilik blog berkenaan. Ada
bermacam cara menyalurkan pertanyaan itu sama
ada melalui ruangan komen atau cuba hubungi
mereka melalui email yang disediakan jika ia
tidak patut dibincang secara terbuka. Mereka yang
mempunyai ilmu pula janganlah kedekut untuk
berkongsi dengan orang lain. Ilmu tidak sama
seperti wang yang disimpan dalam bank. Semakin
banyak anda simpan, semakin besar bunganya.
Lagi berfaedah kalau ilmu dikongsikan dan
disebarkan kepada orang lain.
2. Jangan memaksa diri
Menerbitkan entri secara teratur seperti yang
diamalkan oleh profesional blogger dan blogger
sepenuh masa memang sangat digalakkan tetapi
janganlah memaksa diri untuk menulis seperti
mereka hingga sanggup menerbitkan entri tanpa
tajuk! Blogger profesional/sepenuh masa jarang
berhadapan masalah menguruskan blog kerana
selalunya mereka memiliki jadual khusus untuk
menguruskan blog. Sebahagian blog pula
diuruskan oleh beberapa orang penulis jadi
masing-masing boleh memberikan fokus kepada
bidang masing-masing. Ini berbeza dengan
penulis blog yang menjadikan aktiviti itu sebagai
hobi yang kadang terpaksa menguruskan banyak
perkara lain terutamanya pekerjaan atau
pelajaran. Daripada buang masa memikirkan apa
hendak anda tulis, lebih baik luangkan masa
menguruskan aspek blog, membaca komen,
membaca dan mengomen blog lain atau cuba
pelawa penulis jemputan menyumbang artikel di
blog anda seperti yang selalu dilakukan oleh
denaihati.
3. Jangan takut untuk memulakan
perhubungan
Mungkin anda seorang yang pendiam dan segan
dalam banyak perkara. Tapi kenapa harus takut
dalam memulakan hubungan baik sesama
blogger. Apa kata ubah sedikit sikap anda dan
cuba beramah-mesra dan menjalin kerjasama
dengan komuniti blogger lain. Ada banyak lagi
blog di luar sana yang mungkin belum anda
dilawati. Kalau menurut enjin carian, di Malaysia
(Pages from Malaysia) blog yang menggunakan
platform blogspot.com sahaja ada lebih kurang
9,980,000, manakala wordpress.com lebih
kurang 889,000. Itu belum termasuk blog yang
menggunakan domain berbayar. Walaupun ia
bukanlah satu jumlah yang tepat (mungkin
sebahagiannya juga sudah tidak aktif) tetapi
mungkin suku daripadanya masih boleh dilawati.
4. Jangan menulis secara membabi-buta
Menulis berita panas atau melibatkan gosip
tertentu memang sesuatu yang menyeronokkan.
Kadang boleh menjadi suatu kebanggaan
terutama jika anda merupakan orang pertama
yang menyebarkan gosip panas berkenaan. Apa
lagi, tentunya berduyun-duyun pelawat datang ke
blog anda. Tapi adakah anda pernah
menjangkakan kesan berikutnya daripada tulisan
tersebut? Kalau gosip panas itu memang betul tak
kisahlah sangat. Bagaimana jika apa yang anda
tulis itu salah? Bersediakah anda didakwa ke
mahkamah oleh individu berkenaan? Maka
sebaiknya janganlah terlalu ghairah menulis
cerita panas sehingga boleh menjejaskan
kredibiliti anda sebagai penulis blog dan juga
sampai mengaibkan orang lain. Pastikan anda
menulis fakta yang tepat dengan cara buat
rujukan atau pembacaan terlebih dahulu.
5. Jangan terlalu cepat menjatuhkan hukuman
Bagaimana pula jika anda mendapat cerita hangat
daripada portal berita? Sebagai contoh, anda
membaca tentang seorang guru disiplin dituduh
mencabul pelajarnya. Anda berkongsi berita
tersebut di blog dan menyatakan betapa
geramnya anda tentang cikgu berkenaan hingga
keluar ayat-ayat yang keterlaluan. Hey hello.. itu
sudah menghukum namanya. Kalau anda benar-
benar pasti atau punya bukti lengkap tentang
tuduhan berkenaan baguslah sebab anda boleh
menawarkan diri jadi saksi dalam perbicaraan
nanti. Tapi kalau setakat mengetahui hal tersebut
di berita, ada baiknya buat penafian yang artikel
anda bukan untuk menghukum tetapi sekadar
menjadikan kisah tersebut sebagai ingatan dan
pengajaran.
Mampukah Malaysia Menangani Isu Panas Dalam
Negara
Cikgu ajar seks lebih power
6. Jangan takut untuk mempelbagaikan topik
Topik atau fokus penulisan selalunya bergantung
kepada pembaca. Sebab itu ada perkara yang kita
tulis sangat menarik kepada sesetengah orang
tetapi amat menjengkelkan bagi orang lain.
Sebagai contoh, jika anda menulis tentang
Akademi Fantasia, tentunya ada sebahagian
blogger tidak tidak tertarik dengan penulisan
tersebut, tetapi ia tetap menjadi tarikan pembaca
di luar sana. Sebaliknya jika saya tulis tentang
SEO, PageRank atau tips mendapatkan Buffered
Earning daripada Nuffnang, mungkin hanya
blogger sahaja yang mahu membacanya. Jadi
jangan takut untuk menulis pelbagai topik di blog
masing-masing. Lebih banyak topik yang kita
tulis, lebih ramai yang akan mendapat manfaat.
Anda pun dapat pulangan juga kan?
7. Jangan rumitkan keadaan
Mungkin kita pernah menulis tentang sesuatu
atau seseorang. Secara tidak sengaja kita tersilap
pada mana-mana bahagian sehingga
menyebabkan mereka tersinggung atau
memberikan kesan yang lebih besar seperti
mengaibkan individu berkenaan. Jika berlaku
keadaan seperti ini, segeralah menarik balik
kenyataan tersebut. Tidak kira dengan apa cara
sama ada dengan memadam artikel berkenaan
atau membuat kenyataan memohon maaf. Jangan
cuba menegakkan benang yang basah atau “besar
kepala” tidak mengakui kesilapan. Sikap sebegini
bukan menyelesaikan masalah tetapi hanya akan
merumitkan lagi keadaan. Lagipun belum ada
tercatat dalam peradaban manusia yang
martabatnya akan jatuh jika meminta maaf.
Bila Ayam Berterima Kasih
8. Jangan abaikan kritikan
Mungkin anda pernah membaca kritikan di mana-
mana blog yang secara langsung (walaupun tidak
dinyatakan) ia sebenarnya ditujukan kepada anda.
Anda faham maksud penulis tapi dalam fikiran
anda: “Alahh.. aku tak kisah pun“. “Blog aku.. aku
punya suka“. Kalau itulah fikiran anda, cepat-
cepatlah buang kerana ada sesetengah perkara di
dunia ini yang kita tidak nampak tapi orang lain
nampak. Jadi cubalah meluangkan sedikit masa
memikirkan kritikan tersebut, memperincikan
poin yang mereka perkatakan dan usahakan untuk
memperbaikinya. Mereka mengkritik bukan
bermaksud mereka sempurna tapi sekadar
memberi ingatan untuk kebaikan. Tapi janganlah
pula sampai tidak tidur malam memikirkan
kritikan orang lain. Yang penting bijak menilai
mana kritikan yang boleh diberi perhatian dan
mana tidak.
9. Jangan terlalu prejudis terhadap blogger
lain
Secara spesifiknya (préjudis) adalah bermaksud
rasa suka atau tidak suka yg tidak berasas
terhadap sesuatu kaum, agama, dsb. Sedar tidak
sedar dalam komuniti blog pun sikap ini kadang-
kala wujud juga. Ada sesetengah blogger memiliki
rasa tidak suka kepada blogger sana tanpa
sebarang sebab yang munasabah. Sebahagiannya
pula terlalu menyokong blogger sini walaupun
tahu ada perkara yang bertentangan. Misalnya kita
baca tulisan di Blog A mengatakan Blog B telah
melakukan sesuatu yang melanggar etika blog.
Tanpa usul-periksa atau mengetahui kisah
sebenarnya anda menyokong kenyataan Blog A.
Malah siap memberikan kutukan bertubi-tubi
kepada Blog B padahal anda langsung tidak
terlibat dalam situasi berkenaan. Maka di sinilah
jelas telah timbul sikap prejudis dalam diri anda.
Apapun, saya tidak katakan yang bersikap
prejudis itu 100% salah. kerana dalam
sesetengah keadaan ianya masih lagi diperlukan.
10. Jangan Abaikan SEO
Blogger profesional kadang menghabiskan masa
agak lama untuk mengkaji SEO blog masing-
masing. Ada yang menggunakan keyword tools,
SEO Doctor, Website Analysis dan sebagainya
semata-mata bagi memastikan setiap artikel yan
dihasilkan mesra enjin carian. Semua itu
dilakukan bagi memastikan setiap artikel yang
mereka hasilkan mendapat tempat yang baik di
enjin carian jadi mudahlah untuk mendapat trafik
organik dari pengunjung yang mencari berbagai
kata kunci. Cuma seperkara yang ingin saya
kongsikan, menarik trafik organik biarlah
dilakukan secara beretika. Tidak menjadi
kesalahan jika anda memasukkan banyak kata
kunci menarik, cuma jangan menipu pencari
maklumat dengan kata kunci atau tag yang
langsung tiada kaitan dengan artikel. Kalau
membincangkan pasal SEO tentulah tidak akan
habis dalam artikel ini, jadi luangkanlah sedikit
masa untuk mengimbas dan membaca semula
artikel dalam kategori SEO|PageRank di blog ini.
Artikel ini sebenarnya saya dedikasikan untuk diri
sendiri bertujuan untuk memberikan semangat
serta memperbaiki mana-mana yang perlu.
Sebahagian perkara itu memang bersangkut paut
dengan diri saya sendiri, sebahagian lagi
diadaptasi daripada pengalaman. Apapun, jika
artikel ini berguna kepada blogger lain,
alhamdulillah.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar